Tanggungjawab
Sosial Korporat

Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) merupakan suatu komitmen bagi golongan korporat dalam meningkatkan kesejahteraan komuniti melalui amalan perniagaannya dan sumbangan yang dapat diberikan. CSR membawa maksud syarikat bertanggungjawab dengan mengambil kira minat klien, para pekerja, pemegang-pemegang berkepentingan, komuniti dan pertimbangan ekologi dalam semua aspek operasi perniagaan.

Sebagai sebuah syarikat korporat yang mementingkan tanggungjawab sosial terhadap masyarakat, pihak syarikat sentiasa memastikan harga yang ditawarkan adalah berpatutan. Ini bersamaan dengan slogan syarikat iaitu “ Bijak Berbelanja, Harga Rendah Setiap Hari “. Setelah 20 tahun beroperasi, nama syarikat semakin dikenali di kalangan masyarakat tempatan terutamanya di kalangan penduduk di kawasan pedalaman, iaitu kawasan sasaran kami.

Selain daripada penawaran harga yang berpatutan, pihak syarikat sentiasa berusaha dalam menunaikan Tanggungjawab Sosial Korporatnya agar dapat memberi manfaat kepada masyarakat. Bersempena dengan acara cabutan bertuah yang telah berlangsung di Pasaraya Ku cawangan Taiping pada 10 Januari 2009, pihak syarikat telah melancarkan projek terbaru kami yang diberi nama “Rumah Inspirasi Ku”. Nama ini dipilih kerana dengan adanya sokongan pelanggan setia kami, ia telah memberi inspirasi kepada kami untuk memberi sumbangan kepada pertubuhan-pertubuhan yang terlibat sebanyak ringgit Malaysia Satu (RM 1) dari setiap hasil jualan beg kitar semula. Pertubuhan-pertubuhan yang dipilih adalah yang berhampiran dengan setiap cawangan Pasaraya Ku. Projek ini merupakan langkah permulaan kami untuk memberi sedikit sumbangan kepada golongan yang kurang bernasib baik.

Harapan kami, projek ini dapat menceriakan golongan yang kurang bernasib baik dengan meringankan beban kewangan mereka. Sekiranya usaha murni ini mendapat sambutan yang menggalakkan, tidak mustahil kami akan meneruskan projek-projek seumpama ini di masa akan datang.